SEREMBAN, 22 Disember - Jualan Rahmah bawah Kerajaan MADANI sekali lagi membuktikan keberkesanannya apabila ramai pengunjung hadir ke Dataran Nilai sempena NS Fest 2025 untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan berbanding harga pasaran.
Seorang pengunjung, Mohd Satar A. Ghani, berkata inisiatif berkenaan membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana.
"Jualan Rahmah ini sangat membantu kami sekeluarga. Inisiatif kerajaan seperti ini memang baik untuk rakyat dan memberi kelegaan dari segi kos perbelanjaan," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nora Mohd Yasin, berkata inisiatif tersebut wajar diteruskan kerana memberi manfaat langsung kepada orang ramai.
"Inisiatif kerajaan sekarang sangat berbaloi. Harga murah dan mudah diakses oleh masyarakat," katanya.
Bagi pesara kerajaan, Mohamad Noor Ismail, Jualan Rahmah dianggap sebagai pendekatan dekat dengan rakyat.
"Sebagai orang pencen, program ini memang bagus. Harga murah, barang pun lengkap dan mudah didapati seperti beras dan minyak paket," katanya.
Pengunjung turut memuji kelancaran urusan jual beli yang dilaksanakan secara tersusun sepanjang festival berlangsung.
Jualan Rahmah dijangka terus menjadi antara tarikan utama sepanjang penganjuran NS Fest 2025, selari dengan usaha kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Selain menawarkan pelbagai barangan keperluan harian, Festival NS Fest 2025 yang berlangsung hingga 31 Disember itu turut menghimpunkan pelbagai aktiviti komuniti dan hiburan untuk seisi keluarga.