fb fb fb fb fb

Tukar lorong saat akhir, pembonceng warga emas maut dirempuh kereta

Lokasi kejadian

SARATOK, 22 Disember -Seorang wanita warga emas maut selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 433 Lebuhraya Pan Borneo Saratok, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.00 pagi membabitkan sebuah motosikal dan kereta.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu di lorong kanan tidak sempat mengelak apabila motosikal dari lorong kiri dipercayai menukar laluan secara mengejut ke lorong kanan.

Perlanggaran berlaku pada bahagian tepi kanan motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Wanita warga emas yang membonceng motosikal tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 9.23 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Saratok.

Sementara itu, penunggang motosikal, lelaki warga emas yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran mengalami patah kaki kanan dan telah dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN