NARATHIWAT, 15 Januari - Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand merekodkan hampir 300 pasangan dari Malaysia yang mendaftar dan berkahwin di negara itu sepanjang tahun lalu.
Timbalan Yang Dipertuanya Abdul Aziz Che Mamat berkata, sepanjang tahun 2024, jumlah keseluruhan pasangan didaftarkan berkahwin di Narathiwat ialah lebih 600 pasangan.
Beliau berkata, lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan pasangan di wilayah tersebut manakala selebihnya merupakan pasangan Malaysia.
Katanya, 60 peratus daripada 300 pasangan Malaysia berkahwin di Narathiwat atas tujuan berpoligami dan kebanyakan berusia lingkungan 40-an hingga 60-an.
Kelantan dan Terengganu merekodkan jumlah paling ramai berkahwin di Narathiwat dan faktor utama mungkin disebabkan jaraknya berdekatan dengan sempadan.
"Lebih kurang 600 Malaysia saya diberitahu ia Kelantan dengan Terengganu sebab ia merupakan negeri yang berhampiran anggaran usia yang datang menikah di sini ada 40-an 50-an dan ada juga 60-an dalam 60 peratus," kata Abdul Aziz.
Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata, selepas penguatkuasaan perintah larangan rentas sempadan di kawasan pengkalan haram bermula 1 Disember lalu jumlah pasangan Malaysia yang berkahwin di Wilayah Selatan Thailand berkurangan sebanyak 40 peratus.
Beliau berkata, sebelum larangan tersebut, pihaknya menguruskan purata seramai empat hingga lima pasangan dari Malaysia sehari mengikut hari-hari tertentu.
Pihaknya, mengakui bahawa aspek masuk ke Thailand tanpa menggunakan pasport bukan menjadi keutamaan pihaknya untuk pasangan tersebut berkahwin.
Katanya, sebaliknya syarat sah terutamanya wali, dokumen perceraian sah dan jarak melebihi dua marhalah menjadi keutamaan agar akad nikah dapat dilaksanakan.