KUALA LUMPUR, 22 Julai – Sejumlah 60.2 peratus daripada 108,409 penagih dadah di seluruh negara setakat Mac tahun ini terdiri daripada golongan belia, menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata, jenis dadah paling banyak digunakan dalam kalangan mereka ialah dadah sintetik kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS), yang mudah didapati dan lebih murah berbanding dadah tradisional seperti ganja dan heroin.
“Kebanyakan mereka yang terlibat bermula seawal usia 15 tahun, malah ada juga yang lebih muda. Memang ada yang bawah umur 15 tahun, walaupun jumlahnya kecil, namun ia menunjukkan risiko pendedahan yang amat membimbangkan,” katanya kepada RTM selepas ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Menurut beliau, dadah ATS seperti methamphetamine kini menjadi tarikan utama kepada golongan muda kerana kesannya yang cepat dan harga yang lebih mampu milik.
“Dadah sekarang terbahagi kepada dua, tradisional seperti ganja dan heroin, serta sintetik seperti ATS yang dihasilkan daripada bahan kimia. ATS lebih mudah diperoleh dan harganya tidak semahal dadah tradisional,” jelasnya.
Tambah beliau, kesan penggunaan ATS amat berbahaya kerana boleh merosakkan organ utama seperti buah pinggang, paru-paru dan jantung dalam tempoh singkat.
Justeru, Ruslin menyeru semua pihak, khususnya ibu bapa dan masyarakat, agar memainkan peranan aktif dalam menangani isu penyalahgunaan dadah, menjadikannya sebagai agenda bersama demi kesejahteraan generasi akan datang.