fb fb fb fb fb

671 penerima APC Kementerian Komunikasi

Jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan 671 penerima termasuk Sabah dan Sarawak. 

PUTRAJAYA, 16 Mei- Seramai 522 orang kakitangan Kementerian Komunikasi dari zon Semenanjung menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023, hari ini.

Jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan 671 penerima termasuk Sabah dan Sarawak. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penghargaan itu perlu seiring dengan penjawat awam dalam membudayakan kepantasan pelaksanaan tugas seiring dengan teknologi semasa. 

"Saya yakin bahawa penjawat awam yang baik dan cemerlang akan meletakkan sepenuh komitmen dalam setiap tugasan yang telah diamanahkan.

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, turut menegaskan penjawat awam perlu membudayakan kecepatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar yang dirangka kerajaan dapat dilaksana dengan lebih pantas," kata Fahmi ketika berucap pada Majlis APC 2023 di sini.

Rata-rata kakitangan berkenaan menganggap pengiktirafan tersebut sebagai pembakar semangat untuk mereka terus memberi perkhidmatan terbaik pada masa akan datang.

"Syukur alhamdulillah. Saya dahulukan ucapan terima kasih kepada RTM, khususnya pengurusan tertinggi BES (Berita Ehwal Semasa) atas penghargaan ini. Dengan pengiktirafan ini, pasti ia akan meningkatkan lagi semangat semua warga kerja Kementerian Komunikasi untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jabatan dan agensi masing-masing. Saya juga nak dedikasikan penghargaan ini kepada seluruh warga kerja portal berita RTM,” kata Muhammad Afif Farhan, Penyunting portal berita RTM.

"Terima kasih RTM, Kementerian Komunikasi. APC yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berbakti dengan cemerlang, dalam masa sama membantu menaikkan nama jabatan," kata Siti Aiyshah Baslie, juga Penyunting portal berita RTM.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi... Sesungguhnya kejayaan atau kecemerlangan adalah sesuatu yang boleh dicapai, diperoleh... Kadang-kadang ia perlukan dorongan... Galakan itu boleh hadir sama ada sokongan ibu bapa, keluarga, pihak pengurusan dan rakan setugas. Dorongan, galakan ini akan meningkatkan semangat, 'passion', keghairahan, para petugas dalam menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan komitmen tinggi," kata Penolong Pengarah Unit Antarabangsa, Syazwan Naimnor Norazmi.

"Saya nak ucap terima kasih kepada kepimpinan RTM kerana memberi ruang ini dan iktiraf kami selaku tenaga kerja RTM, sekali gus dapat menyuntik lagi semangat untuk kami lebih dedikasi dan bagi yang lebih baik untuk membanggakan RTM. Dan ini juga jadi inspirasi buat rakan-rakan yang lain," kata Syamimi Syahira Saripan selaku wartawan di bilik berita RTM.

"Saya mula bertugas di RTM pada 2012 dan ini merupakan APC pertama sejak saya berkhidmat. Jadi sangat gembira dan bersyukur serta berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana memilih saya kali ini dan ia memberikan saya lebih motivasi dan semangat untuk terus memberikan yang terbaik untuk RTM," kata Nur Farhana Azwanee Ismail., juga wartawan.

"Anugerah ini merupakan satu pembakar semangat untuk saya menjadi lebih baik dalam kerja kita. Juga daripada sudut kualiti. Terima kasih kepada semua yang terlibat di tempat kerja. Sorang-sorang tidak jadi. Ini kerja dalam pasukan. Terima kasih RTM. Terima kasih Kementerian Komunikasi," kata Penyunting Berita, Jelberter Robert.

Bagi Norianti Nordin, Penolong Pengarah di Unit Suntingan Bahasa Melayu, pengiktirafan ini amat dihargai dan akan terus memberi komitmen dalam setiap tugasan diamanahkan.

"Syukur atas penghargaan diberikan Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penyiaran kepada kakitangannya. Saya akan terus komited berkhidmat sebaiknya untuk organisasi ini. Kejayaan ini bukanlah kejayaan individu semata-mata, malah kejayaan ini didukung oleh pihak pengurusan dan kakitangan di unit saya berkhidmat. Kerana mereka jugalah, tugasan yang diamanahkan dapat dilunaskan sebaik mungkin," kata Penolong Pengarah Penyuntingan Berita TV," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM