KUALA LUMPUR, 29 November – Lebih 500 kenderaan milik rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hat Yai, Thailand akibat banjir yang melanda wilayah selatan Thailand.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, kerajaan sedang berusaha berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan proses membawa keluar kenderaan terlibat.
Tambah beliau, kerajaan telah memohon kebenaran untuk membawa masuk beberapa trak tunda Malaysia ke Thailand bagi menguruskan proses membawa pulang kenderaan tersebut.
“Untuk mengeluarkan kenderaan tersebut, terdapat beberapa proses kerana trak tunda Malaysia tidak dibenarkan masuk ke Thailand. Jadi, mereka perlu menguruskan perkara ini dengan pihak insurans masing-masing. Pihak insurans akan mengatur trak tunda tempatan dari Thailand untuk membawa kenderaan sehingga ke sempadan"
"Trak tunda ini telah dikenal pasti oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kebenaran telah dipohon untuk memasuki Hat Yai bagi menarik kenderaan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, berharap pihak berkuasa Thailand dapat memberikan kerjasama sepenuhnya, memandangkan dokumen dan surat deklarasi kebanyakkan kenderaan milik rakyat Malaysia telah hilang atau dihanyutkan air.
Datuk Wan Zaidi dan Ahmad Fahmi berkata demikian dalam sesi temu bual berkaitan pemindahan rakyat Malaysia di Hat Yai secara dalam talian bersama RTM dan BERNAMA hari ini.
