MAKKAH, 29 Mei - Seramai 5,681 jemaah haji Malaysia direkodkan telah mendapatkan rawatan di Pusat Rawat Tabung Haji (TH) di Madinah dan Makkah serta klinik-klinik kesihatan maktab setakat semalam.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Abdul Marsudi Manah berkata hampir 30 peratus jemaah yang datang mendapatkan rawatan adalah disebabkan masalah batuk, selesema, demam dan sakit otot.
“Ibadah haji ini merupakan pengalaman sekali seumur hidup menyebabkan jemaah haji ini teruja untuk mengerjakan umrah, tawaf sunat…jadi trend pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya ramai jemaah yang datang untuk mendapatkan rawatan disebabkan persekitaran yang berdebu, kering dan panas.
“Purata jumlah kedatangan pesakit untuk mendapatkan rawatan dengan jumlah jemaah semasa yang telah tiba iaitu kira-kira 17,000 orang, adalah empat pesakit per 100 jemaah haji dan angka ini, satu jumlah terkawal,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini.
Beliau yang juga merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memaklumkan setakat semalam, 34 orang masih dirawat di wad Pusat Perubatan Makkah.
Berikutan itu katanya pasukan perubatan TH sentiasa mengadakan lawatan dari bilik ke bilik bagi memberi penekanan kepada jemaah tentang kepentingan memakai pelitup muka terutama apabila berada di tempat yang sesak walaupun dalam keadaan penyakit COVID-19 terkawal.
“Pemakaian pelitup hidung dan mulut ini bukan sahaja untuk mengelak COVID-19 tetapi juga virus-virus yang lain. Di Tanah Suci ini ada lebih ratusan negara bukan dari Asia Tenggara sahaja, jadi kita tidak tahu apa virus yang ada pada jemaah-jemaah ini,” katanya.
Dr Abdul Marsudi berkata TH juga sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan Arab Saudi dari semasa ke semasa untuk mengetahui jika ada sebarang saranan dan nasihat kesihatan yang perlu dipatuhi jemaah berikutan laporan penularan kembali COVID-19 dengan melibatkan varian baharu di beberapa negara.
Bagi musim haji kali ini, beliau berkata 278 petugas rombongan perubatan daripada pelbagai disiplin telah diamanahkan untuk menyantuni Duyufurrahman termasuk pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan, unit sokongan makmal, pakar pemakanan, pergigian dan fisioterapi.
Menurutnya daripada jumlah itu, 40 petugas merupakan mereka yang pernah bertugas semasa musim haji, manakala selebihnya kali pertama bertugas di Tanah Suci.- BERNAMA