KUALA LUMPUR, 7 Mac- Jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Melaka sedikit berkurangan dengan 42,909 orang ditempatkan di 234 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.00 pagi, berbanding 53,040 orang, semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memaklumkan 39,620 orang ditempatkan di 210 PPS di kesemua sembilan daerah.
Daripada sembilan daerah, tiga daerah paling teruk terjejas adalah Batu Pahat melibatkan 22,209 orang, diikuti Muar dengan 5,094 orang dan Segamat 4,036 orang.
(Foto fail)
Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan seramai 2,684 penduduk terkesan masih berada di 18 PPS di Rompin manakala 13 lagi ditempatkan di sebuah PPS di Maran.
Manakala di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin meningkat sedikit kepada 605 mangsa daripada 161 keluarga berbanding 593 mangsa daripada 160 keluarga, semalam.