fb fb fb fb fb

Lebih 4,000 petugas bersih kawasan kebakaran paip gas

FOTO JAPEN

SUBANG JAYA, 12 April- Lebih 4,000 petugas termasuk sukarelawan dan anggota pelbagai agensi digerakkan dalam Operasi Mega Pembersihan di lokasi terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.

Operasi selama dua hari itu melibatkan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi serta tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan di 12 zon merangkumi empat sektor utama.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembersihan berskala besar itu dijangka menyelesaikan isu kebersihan awam dan membantu penduduk yang mula kembali ke kediaman masing-masing sejak pertengahan minggu ini.

"Saya berharap operasi dua hari ini mampu menyelesaikan isu-isu pembersihan di kawasan awam dan membantu meringankan beban pemilik rumah... minggu depan kita boleh menumpukan kepada dua perkara iaitu sewaan serta baik pulih," katanya.

Setakat ini, sebanyak 307 kediaman telah dibenarkan untuk diduduki semula dan pihak berkuasa menjangkakan jumlah itu akan meningkat selepas proses pembersihan selesai sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azlan Wan Mamat dalam taklimat kepada sukarelawan mengingatkan semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan sepanjang operasi.

Kerja-kerja pembersihan bermula seawal pukul 9.00 pagi tadi dan jentera pembersihan mula beredar dari lokasi sekitar 3.30 petang.

Operasi akan disambung esok.

SITI AISHAH MD ISA