KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Seramai lebih 4,000 daripada 42,640 pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di seluruh negara telah bersiap sedia untuk diatur gerak bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
Ketua Pengarah RELA Datuk Yahya Sulaiman berkata penugasan anggota RELA diletakkan dalam keadaan siap sedia bawah pengarahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selaku Komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Mereka akan melaksanakan tindak balas awal sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan dan bencana di kawasan tanggungjawab masing-masing.
Tambah beliau, sebanyak 41 buah lori tiga tan dan 36 buah kenderaan pacuan empat roda milik jabatan berada dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan bagi tugas-tugas operasi.
Selain itu, pegawai dan anggota RELA turut melaksanakan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana di lokasi-lokasi berisiko dan dijangka berdepan bencana.
Pada masa sama, memberi bantuan awal kepada mangsa bencana.
Pelaksanaan penugasan ini turut merangkumi penugasan sebelum, semasa dan selepas bencana.
(Lebih 4,000 pegawai, anggota RELA siap siaga hadapi musim tengkujuh)