KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 sen kepada RM3.50 sen untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa bulan ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata insentif tersebut bertujuan bagi menambah baik program tersebut.
"Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.
"Dengan itu, lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.
Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah dilaksanakan sejak 1979 bagi memastikan murid daripada keluarga susah mendapat khasiat makanan yang diperlukan.
Menerusi bajet tahun ini, kerajaan telah menambah baik RMT dengan menyediakan bekalan susu setiap hari untuk persekolahan anak-anak yang layak.