(Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian bantuan tunai langsung, pelaksanaan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan terus ditambah baik.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk tahun hadapan isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500.
"Ini ialah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak.
"Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.
Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.
Kepada warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula, mereka aka terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan 350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.
Tahun 2023, pemberian bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan.
(Foto fail)
Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini.
"Misalnya, pasangan Firdaus dan Nor Aliza dari Pasir Gudang yang mempunyai lima orang cahaya mata telah menerima BKM sebanyak RM2,000 tahun ini.
"Tahun hadapan mereka layak menerima BKM RM2,500. Ling Mee Hoon pula seorang ibu tunggal dari Sitiawan yang membesarkan tiga orang anak mendapat BKM RM1,300 tahun ini dan layak menerima BKM RM1,500 pada tahun 2023," tambah beliau.
Bantuan Keluarga Malaysia 2023 akan memberi manfaat kepada8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion.
BKM 2023 ialah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan 5 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion.