KANGAR, 31 Oktober - Pelaksanaan Jualan Agro Madani bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis hingga kini memberi manfaat kepada lebih 30,000 rakyat negeri itu.
Ini menerusi 145 program jualan Madani melibatkan Pejabat FAMA Negeri, outlet peruncitan FAMA dan masjid-masjid terpilih seluruh Perlis.
Menurut Pengarah FAMA Negeri, Mohd Sharizan Mansor, menerusi pelaksanaan Jualan Agro Madani tersebut pihak FAMA Perlis merekodkan nilai keseluruhan jualan hingga kini mencecah RM740,000.
Pelaksanaan Jualan Agro Madani dipertingkatkan di seluruh Perlis berbanding sasaran awal hanya 58 kali penganjuran dengan sasaran nilai jualan sekitar RM450,000 berikutan sambutan baik diterima rakyat negeri Perlis.
Inisiatif itu turut memberi peluang kepada hampir 500 usahawan bimbingan FAMA seluruh Perlis yang memasarkan produk agromakanan masing-masing.
"Jadi kita harapkan sokongan daripada semua masyarakat untuk sentiasa mengkuti publisiti yang dibuat FAMA negeri Perlis untuk hadir di program-program Jualan Agro Madani ke lokasi-lokasi seterusnya," kata Mohd Sharizan kepada pemberita pada Program Jualan Agro Madani yang berlangsung di perkarangan Pejabat FAMA Perlis, di sini.
Selain FAMA, Jualan Agro Madani tersebut turut dilaksanakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan pada harga berpatutan.