IPOH, 31 Oktober-Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berjaya mengutip lebih RM800,000 hasil dua siri lelongan awam membabitkan lebih 100 buah kenderaan yang disita di negeri itu, pada tahun ini.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu dikutip melalui dua siri lelongan awam terhadap 41 buah kenderaan pada bulan Mei dan bulan Oktober melibatkan 77 buah kenderaan yang tidak dituntut pemilik masing-masing.
"Beberapa kali kita hantar surat peringatan minta para pemilik membuat tuntutan tetapi diabaikan.
"Bila sudah cukup tempoh kita serah kepada mahkamah Majistret memutuskan keputusan. kesemua kenderaan dilucutkan hak dan diletakkan dibawah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)", katanya kepada pemberita pada majlis Lelongan Awam Siri 2/2023 di Ibu Pejabat JPJ Perak di sini.
Tambah Mohammad Yusoff, lebih 200 pembida hadir pada dua sesi lelongan awam tersebut dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang dilelong pada harga RM24,660 merupakan lelongan tertinggi.
Pada siri dua lelongan awam, sebanyak 77 buah kenderaan yang disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dilelong melibatkan 21 buah motosikal, 47 buah motokar, lima buah lori dan lain-lain kenderaan.