fb fb fb fb fb

Keseimbangan hidup dan kerjaya kunci kesihatan mental yang baik - KSU KKD

Mohamad Fauzi Md Isa

PUTRAJAYA, 31 Oktober- Warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) diseru agar berusaha mencari keseimbangan hidup dan kerjaya yang menjadi kunci kepada kesihatan mental yang baik, kebahagian dan produktiviti tinggi.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, elemen itu penting terutamanya dalam kehidupan kini yang semakin sibuk serta tahap tekanan kian tinggi di tempat kerja.

Jelasnya pihak pengurusan melalui Bahagian Sumber Manusia (BSM) sentiasa mencari pelbagai pendekatan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan mental warga KKD.

"BSM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada warga KKD sekiranya ingin membincangkan perihal mengenai prestasi dan kerjaya, kesihatan, keluarga, pembangunan dan sebagainya.

"Saya juga menyeru kepada warga KKD untuk menyertai program dan latihan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh BSM kerana ia akan memberikan banyak manfaat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Psikologi peringkat KKD 2023 di sini.

Jelasnya lagi, pihak majikan juga memainkan peranan penting untuk memastikan keseimbangan tersebut dapat dicapai dengan menyediakan sokongan dan fleksibiliti diperlukan untuk menjaga kesihatan mental pekerja.

Ini termasuk mengurangkan tekanan kerja dan mempromosikan persekitaran sihat di tempat kerja.

Pada majlis itu, Datuk Mohamad Fauzi turut melancarkan laman web e-mentoring@KKD menerusi inisiatif unit pengurusan psikologi BSM.

Pelaksanaan program pementoran secara digital membolehkan mentor dan menti melaksanakan sesi pertemuan serta bimbingan di mana-mana sahaja tanpa perlu membawa buku log dan buku panduan program pementoran secara fizikal.

SITI AISHAH BINTI MD ISA