fb fb fb fb fb

Lebih 3,00 penduduk bergelap, tiang elektrik tumbang dilanggar kapal pengorek pasir

TUMPAT, 27 Februari- Lebih 3,000 penduduk di 11 buah kampung di kepulauan Tumpat di Delta Sungai Kelantan terputus bekalan elektrik sejak tengah malam tadi apabila tiang elektrik tumbang dilanggar sebuah kapal pengorek pasir.

Kejadian disedari penduduk pada jam 12 tengah malam apabila kediaman mereka secara tiba-tiba bergelap.

Menurut Penghulu Mukim Pulau Seratus, Che Dir Che Hamid, kapal pengorek pasir itu hanyut kira-kira dua kilometer dari lokasinya ditempatkan iaitu di Kampung Pasir Pekan sebelum dibawa arus sungai yang deras dan melanggar tiang elektrik yang terletak di tebing sungai Kampung Pulau Beluru.

Jelasnya, sebaik mengetahui punca bekalan elektrik terputus itu, penduduk kampung kemudian keluar ke tanah besar untuk mencari lilin.

Katanya lagi, bekalan lilin dibeli dalam kuantiti yang banyak kerana difahamkan keadaan tanpa elektrik itu akan dialami mereka dalam tempoh yang agak lama.

Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah berkata, pihaknya sudah berhubung dengan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perkara itu dalam perhatian.

Tidak menafikan masalah itu memakan masa untuk diselesaikan, beliau berharap agar penduduk kampung terus bersabar sementara pihaknya mencari penyelesaian lain.

Pihaknya juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian sementara untuk penduduk sama ada menyediakan set generator atau menggunakan saluran elektrik dari mana-mana punca bekalan.


Media Baharu