fb fb fb fb fb

Lebih 200,000 kenderaan masuk Melaka sempena cuti Hari Raya

Foto hiasan/ BERNAMA

MELAKA, 27 Mac- Lebih 200,000 kenderaan akan memasuki Melaka sempena cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia melibatkan 108,000 kenderaan melalui Tol Ayer Keroh, 83,000 Tol Simpang Ampat dan Tol Jasin sebanyak 30,000 kenderaan.

Beliau berkata, sebanyak 19 pegawai dan 140 anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka akan ditempatkan di kawasan-kawasan 'hotspot' yang sering berlaku kesesakan lalu lintas serta kawasan 'blackspot' yang kerap berlakunya kemalangan di negeri itu.
 
“Kita jangka hari Jumaat ini, waktu petang akan mula taburan kereta memasuki, membanjiri, baik masuk Melaka ataupun keluar Melaka.

"Sebab Melaka ini sempadan Negeri Sembilan, ke Pahang. Semua mungkin orang yang hendak balik Pahang pun lalu Melaka, orang nak pergi ke Johor pun lalu Melaka melalui Alor Gajah dan sebagainya.

"Jadi kita merupakan tengah-tengah... banyak cabang yang akan dilalui kenderaan-kenderaan dari seluruh negara", katanya kepada pemberita selepas Peluncuran Op Selamat 24, sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 Peringkat Kontinjen Melaka di Peringgit.
 
Menurutnya, sepanjang Op Selamat itu, pihak JSPT Melaka akan menumpukan kepada enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya iaitu memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon ketika memandu, pandu melebihi had laju, pandu di lorong kecemasan dan gagal patuhi lampu isyarat.
 
Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 406 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, termasuk empat kemalangan maut, tujuh kemalangan parah, 10 kemalangan ringan dan 385 kes kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan.
 
Tambahnya, setakat ini pihaknya telah menerima 174 pemakluman balik kampung yang dibuat menerusi talian Hotline Mers 999, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan borang manual di balai polis.
 
Dalam pada itu, beliau berkata hampir 500 anggota polis di negeri itu akan bertugas sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri ini bagi melaksanakan tugas-tugas rondaan jenayah serta pemantauan trafik.
 
Jelasnya, hanya kira-kira 20 peratus sahaja anggota polis dibenarkan bercuti pada Hari Raya Aidilfitri ini dan kekangan itu juga disebabkan Melaka terpilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 pada 5 April ini.

ROSLINA BINTI DIN