fb fb fb fb fb

Sindiket salah guna nama Yang Dipertua Dewan Rakyat, perdaya mangsa

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama serta nombor telefon bimbitnya.

Sindiket berkenaan menghantar mesej meminta bantuan kewangan dengan janji akan membayarnya semula menerusi aplikasi WhatsApp kepada ribuan individu dalam senarai kontak telefonnya.

Justeru, beliau meminta mangsa yang telah terpedaya melakukan pemindahan wang ke dalam akaun sindiket itu agar segera membuat laporan polis, disusuli salinan laporan dan resit transaksi ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen untuk tindakan lanjut.

"Benda ini telah banyak kali kita bincang dan perdebatkan dalam parlimen. Tetapi, saya ingat, kalau saya boleh dibuat begini, sudah tentu saya ingat orang-orang lain juga akan menerima nasib yang sama.

Jadi, kalau saya pun kena, orang lain lagi hebatlah," kata Tan Sri Johari kepada pemberita, hari ini.

Beliau memaklumkan sindiket tersebut mungkin mendapatkan akses maklumat telefon melalui pautan yang dihantar dalam bentuk jemputan digital atau mesej lain yang mengandungi perisian hasad.

Tambahnya, beliau akan berbincang dengan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangani isu berkenaan kerana ia boleh menimpa sesiapa sahaja.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM