JOHOR BAHRU, 30 April - Penduduk Kampung Sungai Tiram bergotong-royong menghias lima buah lori dengan lampu dan struktur kayu untuk program Malam Gema Raya.
Ini sebagai persediaan menyambut Syawal dua hari lagi.
Aktiviti tradisi yang dibuat setiap tahun sejak 1997 itu menyaksikan lori berhias dengan replika masjid yang akan berarak sejauh 10 kilometer di kawasan kampung sambil bertakbir.
Pengasas program, Saiful Rashid berkata aktiviti tersebut pada asalnya bertujuan menggalakkan anak–anak muda melakukan aktiviti bermanfaat pada malam raya serta mengelak daripada melakukan aktviti tidak berfaedah.
(Hias lori kerika aktiviti bergotong-royong pada Malam Gema Raya)
Aktiviti ini dinantikan penduduk kampung setiap tahun yang menunggu ketibaan konvoi lori berhias di hadapan rumah masing-masing.
"Gema takbir diadakan pada tahun 1997, dengan sebuah lori sahaja, tiada sebarang hiasan. Cuma lampu kalimantan dengan tulisan kumpulan marhaban Nurul Iman Sungai Tiram. Setiap nak malam raya, yang punya keluarga di Sungai Tiram, Insyaallah dia balik Sungai Tiram, untuk melihat gema takbir yang kita adakan," kata Pengasas Lori Berhias , Saiful Abdul Rashid di sini.
"Negeri Johor, saya rasa ini sebuah kampung yang salah satunya, anjurkan program takbir raya seperti ini. Saya rasa tempat-tempat lain pun, mungkin ada tapi tak konsisten. Di sini lebih 20 tahun, jadi saya fikir program ini layak untuk diletakkan dalam kalender negeri Johor, dimana kita akan anjurkan setiap tahun," kata Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang , Fauzi Faizal.
Fauzi bercadang mengadakan pertemuan dengan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor untuk memasukkan program tersebut dalam kalender negeri.