KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Seramai 2,852 majikan telah memohon untuk menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP), sehingga 21 Oktober 2025.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 1,966 majikan telah menaikkan gaji pekerja mengikut garis panduan yang ditetapkan, melibatkan 20,737 orang pekerja.
''Sebanyak 79.5 peratus daripada majikan telah berdaftar dan menaikkan gaji adalah perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang melibatkan 47.1 peratus jumlah pekerja.
"Pelanjutan DGP atau jumlah insentif yang diberikan akan ditentukan oleh kerajaan berdasarkan kedudukan fiskal negara", katanya.
Beliau menjawab soalan yang diajukan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman di Dewan Rakyat.
Sementara itu, bagi menyokong pelaksanaan penuh DGP pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta dengan sasaran penyertaan seramai 50,000 pekerja di seluruh negara.
Majikan yang layak dan menaikkan gaji pekerja mengikut panduan gaji yang ditetapkan akan menerima insentif tunai sehingga RM300 sebulan daripada kerajaan sehingga tahun 2027.