KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Lebih 2,000 kedai kecil di seluruh negara kini menerima manfaat menerusi pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus memperkasa ekonomi tempatan dan membantu rakyat luar bandar menjana pendapatan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid di Dewan Rakyat hari ini, beliau menjelaskan peluasan program itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan bukan sahaja sampai kepada penerima, tetapi turut memberi kesan limpahan ekonomi kepada peniaga kecil.
“Sekarang ni sudah 2,000 kedai kecil yang dapat manfaat melalui SARA ini. Kita dapat kembangkan kedai-kedai di kampung sebab daripada sekitar 180, sekarang lebih 2,000 kedai kecil boleh digunakan untuk menjana perniagaan mereka melalui SARA. Dan SARA kita tahu tahun ini bermula, tahun 2026 akan diteruskan.” jelas Perdana Menteri.
Beliau berkata lebih 80 peratus penerima layak telah menerima bantuan SARA, manakala baki 20 peratus sedang dalam proses agihan, termasuk dalam kalangan mereka yang tidak layak kerana berpendapatan tinggi.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan SARA bukan sahaja membantu rakyat membeli keperluan asas, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada pengusaha kedai runcit tempatan di luar bandar.
Perdana Menteri yakin, dengan sambutan positif rakyat, program SARA akan diteruskan pada tahun 2026 bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat dan dapat menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik.