fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 hadir Program Kampung Mandiri di Labuan

Foto RTM

LABUAN, 27 April- Penganjuran Program Kampung Mandiri dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan menerima sambutan yang menggalakkan.

Lebih 2,000 orang menghadiri majlis itu, terdiri daripada pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan, serta ketua-ketua dan qariah kampung di pulau berkenaan.

Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan, Gilbert Julian, berkata program berkenaan melibatkan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kilan di bawah Aspirasi Desa MADANI, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Usaha itu bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama bagi memenuhi teras pembangunan komuniti.

"Program Kampung Mandiri ini merupakan salah satu peruntukan yang diterima oleh Kampung Kilan.

"Peruntukan yang diterima oleh Kampung Kilan ini adalah bagi pembinaan pintu gerbang dan dilaksanakan bersama dengan program sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang merupakan salah satu program kerjasama antara JPKK Kampung Kilan dan KEMAS," katanya.

Ketua Kampung Kilan, Mohamad Hassan Kapal, merakamkan penghargaan kepada KKDW atas peruntukan yang telah disalurkan.

"Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kepada KKDW yang melalui KEMAS telah memberikan kami peruntukan di bawah Program Kampung Mandiri, di mana kami menerima peruntukan untuk membina pintu gerbang dan selebihnya melaksanakan sambutan hari raya," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM