SEPANG, 27 April – Kampung Labu Lanjut, di sini dipilih sebagai salah satu daripada 373 kampung dalam Program Kampung Angkat MADANI 2025.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata pemilihan itu menjadikan Kampung Labu Lanjut sebagai pusat strategik untuk merangsang ekonomi moden dan membangunkan sektor pelancongan berasaskan komuniti.
Menurut beliau, pemilihan kampung itu membuka ruang untuk pelaksanaan projek-projek strategik seperti penganjuran pasar malam sebagai pemangkin ekonomi mikro, pembangunan pasar terapung sebagai daya tarikan pelancongan, serta usaha pemuliharaan sumber air melalui aktiviti pelepasan benih ikan sungai.
"Saya melihat ini sebagai satu usaha yang sangat baik bagi negeri Selangor. Kita ingin mengadakan aktiviti-aktiviti kampung yang boleh memberi impak yang baik kepada ekonomi setempat.
"Antaranya, cadangan untuk menjadikan program pasar terapung. Ini sudah ada di luar negara, namun tadi saya berbincang tentang mekanismanya kerana suasana dan keadaan di negara kita mungkin berbeza. Mungkin fokus jualan kita lebih kepada kraftangan dan makanan tempatan, dan perkara ini akan diperhalusi pihak berkenaan supaya kesinambungannya dapat diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia, di sini.
Inisiatif tersebut dijangka dapat mengukuhkan sumbangan kampung dalam merealisasikan sasaran Tahun Melawat Selangor 2025.