
PERLIS , 2 Mac – Lebih 1,000 pek bubur kanji diagihkan kepada penduduk sekitar Kayang sempena Program I-Kanji yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kayang, baru-baru ini.
- Program I-Kanji inisiatif UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama sekolah dan komuniti bagi memupuk perpaduan sempena Ramadan.
- Majlis menyantuni asnaf dan warga emas, menunjukkan keprihatinan serta mengeratkan silaturahim dalam komuniti.
- Program berlanjutan di beberapa lokasi lain melibatkan agensi kerajaan dan kepimpinan setempat secara gotong-royong.
Program memasak dan pengagihan bubur kanji resipi istimewa Ramadan itu merupakan inisiatif UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Kayang serta komuniti setempat.
Penyelaras Program DUN Kayang, Yusaidi Mustafa berkata, program yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan itu bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat di samping menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat dan berfaedah.
Menurut beliau, program berkenaan juga sebagai tanda keprihatinan untuk menyantuni golongan asnaf dan warga emas sepanjang Ramadan, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
Program berkenaan dimulakan di Taman Kemajuan dalam DUN Indera Kayangan minggu lalu sebelum diteruskan di Kayang minggu ini.
Ia dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi lain termasuk Kuala Perlis, Bintong dan Sena dengan penglibatan agensi kerajaan serta kepimpinan setempat secara gotong-royong.