fb fb fb fb fb

Lebih 100 penduduk terjejas ribut di Kulai

KULAI, 19 November- Lebih 100 penduduk daripada 19 keluarga terjejas dalam kejadian ribut di Felda Bukit Permai, Kampung Sri Muar dan Sungai Besoi di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor berkata, bencana itu telah menjejaskan 19 buah kediaman dan tiga kedai.

Beliau yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, kerajaan negeri akan mengenal pasti keperluan bantuan kepada penduduk terjejas.

"Hasil tinjauan saya ke rumah-rumah penduduk terjejas tadi mendapati, antara bantuan lain yang boleh diberikan ialah kepada anak-anak mangsa.

Saya lihat baju sekolah, beg sekolah serta keperluan asas anak-anak mereka rosak dan basah akibat hujan serta ribut," katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Felda Bukit Permai, di sini.

Datuk Mohd Jafni turut menyerahkan bantuan bakul makanan dan wang tunai RM500 kepada setiap keluarga terlibat.

Sementara itu, penduduk terjejas, Najlaa Sueff, 37 tahun menceritakan detik cemas ketika ribut yang menyebabkan pokok tumbang dan menghempap bahagian dapur rumahnya.

"Masa kejadian, hujan lebat dan angin kuat, anak saya sedang tidur.

Saya terdengar bunyi pokok tumbang, saya pergi dekat anak, saya 'sujud' terus untuk selamatkan dia. Asbestos hempap badan saya, ketika itu saya sedang siapkan sarapan," katanya.

(Bahagian dapur rumah Najlaa yang rosak akibat dihempap pokok ketika ribut)

"Ribut berlaku dalam 10 minit, ketika itu, mmg saya duduk dalam bilik baca doa, tak keluar takut ribut.

Pernah jadi sebelum ini, bumbung yang sama, agak teruk terjejas akibat ribut," kata seorang lagi penduduk terjejas, Liydiana Kamarudin.

"Kejadian dalam pukul lapan lebih, saya tengah layan pelanggan.

Mereka sedang minum, ribut datang habis tunggang-langgang, ribut kuat sampai terangkat bumbung," ujar peniaga, Ashar Isnin.

(Ashar melihat bumbung di kedainya yang rosak akibat ribut)

Kejadian ribut di FELDA Bukit Permai merupakan yang ketiga berlaku tahun ini.

Media Baharu