fb fb fb fb fb

Lebih 100 nelayan di Tumpat, Kota Bharu berdepan masalah kuala cetek

TUMPAT, 15 Mei - Lebih 100 nelayan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu terpaksa mengambil masa yang lama untuk keluar ke laut kerana masalah kuala cetek di Pulau Haji Nik Mat.

Seorang nelayan, Mohd Asri Abdullah berkata mereka terpaksa menggunakan laluan lain yang memakan masa dua hingga tiga jam untuk keluar menangkap ikan.

Beliau berkata disebabkan terpaksa menggunakan laluan lain, kos untuk menangkap ikan turut meningkat sehingga dua kali ganda kerana penggunaan bahan bakar yang banyak.

Katanya, keadaan di muka kuala itu semakin cetek apabila pasir menutupi dasar sungai setiap kali musim tengkujuh berlaku.

Beliau berharap pihak berwajib dapat mengorek pasir di kawasan tersebut selain membina benteng pemecah ombak bagi menghalang kejadian sama berulang lagi.

"Kami nelayan sekarang susah nak keluar masuk ke laut sebab kuala ini jadi cetek dah, jadi nelayan kena ikut laluan jauh, kena pergi kuala besar di Tumpat, jadi jauh dan makan masa kalau kita nak ke laut, kena keluar waktu pagi," kata Mohd Asri.


(Lebih 100 nelayan di Tumpat dan Kota Bharu berdepan masalah kuala cetek di Pulau Haji Nik Mat) 

"Harap supaya kuala ini dalam lah untuk memudahkan nelayan keluar masuk, semua ikut sini, kawasan pulau ini semua melalui sini, bila jadi begini (cetek), susah nelayan," jelas nelayan, Aziz Ismail.

Sementara itu, bagi nelayan yang juga pemandu bot pelancong, Zamri Yusof, laluan alternatif yang digunakan ketika ini sangat sempit dan hanya mampu memuatkan sebuah bot sahaja.

Katanya, laluan tersebut dipenuhi pelbagai jenis tumbuhan dan menyulitkan pergerakan nelayan serta bot pelancong.

"Kalau boleh saya minta lah nak perluaskan tempat itu, nak bagi dalam laluan itu untuk kemudahan bot," kata Zamri.

Katanya, setakat ini penduduk kampung menebas sendiri tumbuhan serta ranting yang menghalang laluan tersebut.

Media Baharu