fb fb fb fb fb

Lebih 1 juta tan metrik BPI diedar tahun lalu - BERNAS

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 25 Februari- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah membawa masuk dan mengedarkan beras putih import (BPI) sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), BERNAS akan meneliti keadaan harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan kadar pertukaran mata wang asing dalam membantu kerajaan menawarkan harga BPI yang lebih rendah.

Jelasnya, BERNAS akan terus komited melaksanakan obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai 'Buyer of Last Resort' atau pembeli padi yang terakhir.

"BERNAS akan memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa berkaitan dalam mencari mekanisme dan langkah intervensi terbaik bagi memastikan ketersediaan bekalan beras stabil dan mencukupi untuk rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.

BERNAS juga menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya inisiatif Beras Putih Malaysia Madani
(BPMM) diteliti dan diperhalusi melalui sesi penglibatan yang lebih terperinci oleh semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Usaha Kerajaan MADANI yang mendengar dan mengambil kira pandangan semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) pada sesi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada Jumaat," menurutnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM