fb fb fb fb fb

RISDA peruntuk RM3.546 juta, bantuan tanam semula getah

FOTO RISDA STESEN NAKA

PADANG TERAP, 25 Februari- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan peruntukkan sebanyak RM3.546 juta untuk bantuan tanam semula getah atau tanam baru getah di Daerah Padang Terap, Kedah bagi tahun 2024.
 
Pegawai RISDA Daerah Padang Terap, Mohd Zulkhairi Mohd Radzi dalam kenyataan kepada RTM berkata, bantuan tanam semula telah dinaikkan daripada RM9,230 kepada RM13,710 perhektar bagi Semenanjung.
 
Ia melibatkan bantuan ansuran pertama berjumlah RM7,710 bantuan ansuran kedua berjumlah RM1,600; bantuan ansuran ketiga RM1,300; bantuan ansuran keempat berjumlah RM1,400 dan bantuan ansuran kelima RM1,700.

Bantuan tanam semula juga merangkumi anak benih, baja, wang tunai dan khidmat nasihat.
 
Beliau berkata, tanah kosong yang mempunyai pemilikan yang sah juga layak dapat bantuan dan kelulusan cepat mengikut terma dan syarat.
 
Jelas Mohd Zulkhairi, sekiranya pemohon tiada pengalaman dalam aktiviti penanaman getah, pegawai RISDA yang berpengalaman akan turun membantu.
 
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan bantuan tersebut boleh datang ke Pejabat RISDA Daerah Padang Terap, RISDA Stesen Naka dan RISDA Stesen Kuala Nerang atau menghubungi talian Pejabat RISDA Daerah Padang Terap di talian 04-7901111; RISDA Stesen NAKA 04-7853090; atau RISDA Stesen Kuala Nerang 047860300 untuk maklumat lanjut.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE