fb fb fb fb fb

Lawatan sulung Anwar ke Manila mulai esok selama dua hari

PUTRAJAYA, 28 Februari - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina Ferdinand R. Marco ke arah memperkasa hubungan dua hala sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri bermula esok dan 2 Mac ini.

Lawatan rasmi Anwar ke Republik Filipina merupakan lawatan rasmi sulungnya sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, serta para pegawai kementerian dan agensi yang berkaitan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

"Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperkasa jaringan kerjasama dua hala bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik serta jalinan antara rakyat,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.

Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk “30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN” di Universiti Filipina.

Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.

Nilai dagangan Malaysia dengan Filipina meningkat sebanyak 20.1 peratus tahun lalu, iaitu RM41.45 bilion (USD9.42 bilion) berbanding jumlah dagangan pada 2021.

Filipina adalah rakan dagangan ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Media Baharu