
ISTANBUL, 9 Januari – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye disifatkan bermakna dan berjaya.
- Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye dianggap bermakna dan berjaya.
- Memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Turkiye.
- Lawatan membuka ruang baharu untuk memperluas kerjasama perniagaan.
- Minat mendalam syarikat Turkiye untuk berkembang ke pasaran Malaysia dan sumber produk.
Ini khususnya, dalam memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata, lawatan berkenaan membuka ruang baharu untuk memperluas kerjasama perniagaan serta menarik minat pelabur Turkiye meneroka peluang di Malaysia.
“Bagi pihak MATRADE, kita merasakan lawatan Perdana Menteri ke Turkiye pada kali ini adalah amat bermakna dan juga berjaya dalam membangunkan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi, terutamanya perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua buah negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye.
Menurutnya, sesi mesyuarat meja bulat yang diadakan dengan syarikat dan pemain industri dari Turkiye membuahkan hasil positif.
Maklum balas yang diterima menunjukkan minat mendalam daripada syarikat-syarikat Turkiye untuk memperluaskan pasaran mereka, sama ada melalui eksport ke Malaysia atau mendapatkan lebih banyak sumber produk dan perkhidmatan dari negara ini.