fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM ke Bangkok, pentas penting bincang pelbagai isu dan kerjasama

BANGKOK, 7 Februari- Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Thailand mulai Khamis, amat ditunggu-tunggu penduduk negara itu.

Mereka menyifatkan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu kepada hubungan dua hala Malaysia-Thailand terutama dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Sejak bulan lalu, tumpuan laporan berita media tempatan Thailand sudah mula terarah kepada lawatan rasmi Perdana Menteri.

Lawatan rasmi Anwar dijangka memajukan lagi hubungan kedua-dua negara serta membantu mencapai matlamat perdagangan dua hala sebanyak RM126 bilion pada 2025.

Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat Kampus Rangsit, Thailand, Prof Dr Chaiwat Meesanthan menyifatkannya sebagai sangat signifikan.

"Bagi Thailand, lawatan ini bukan sahaja 'honor visit' tetapi sebagai lawatan yang penting untuk perbincangan dan pentas menaiktaraf isu-isu yang Thailand mahu berbincang dengan Perdana Menteri walaupun Timbalan Perdana Menteri Thailand pernah sekali lagi melawat Malaysia selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi itu hanya sekejap sekadar memperkenalkan diri.

"Tetapi lawatan ini pentas penting untuk kerajaan Thailand bincang tentang kemahuan kerjasama darpada pihak negara kita kepada Malaysia," katanya kepada RTM.

(Prof Dr Chaiwat Meesanthan)

Tambah Prof Chaiwat, selain meneroka potensi dalam sektor baharu, Thailand mengharapkan pertemuan kali ini turut membincangkan mengenai sempadan Thailand-Malaysia.

"Bagi saya bukan sahaja Anwar sebagai bekas Menteri Kewangan yang terbaik di Asia tetapi beliau sendiri lebih faham tentang keadaan di Thailand terutamanya di sempadan Thailand.

"Kerana beliau sebagai salah seorang aktivis yang sangat aktif dan selalu datang ke sempadan Thailand dan juga di wilayah sempadan Pattani untuk melawat," jelas beliau.

Malaysia dan Thailand sudah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Dari Januari hingga November tahun lepas, Thailand disenaraikan sebagai rakan dagang ketiga utama Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN selain merupakan destinasi eksport keenam terbesar serta sumber import kelapan terbesar.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Thailand terus mencatatkan prestasi cemerlang dan mencecah RM112.42 bilion dari Januari hingga November tahun lepas.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 27.4 peratus dalam tempoh sama pada 2021.

Pertemuan kedua-dua pemimpin tertinggi negara juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam bidang berkepentingan seperti keselamatan, keterjaminan makanan serta kerjasama dalam ASEAN dan kerangka kerja pelbagai hala yang lain.

Laporan disediakan wartawan RTM, Farhana Azwanee Ismail dari Krung Thep Maha Nakhon.

Media Baharu