BERLIN, 9 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi selama lima hari ke Republik Persekutuan Jerman bermula 10 hingga 15 Mac depan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Anwar diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Perdana Menteri dijangka tiba di Berlin, esok, dan akan disambut rakan sejawatnya dari Jerman Canselor Olaf Scholz, dalam satu majlis sambutan rasmi.
Wisma Putra memaklumkan, kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan mesyuarat dua hala yang akan membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman, khususnya dalam kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Dalam lawatan sulung itu, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.
Anwar dijadual akan menyampaikan ucaptama di ‘SME Future Day 2024’ anjuran German Association of Small and Medium-sized Businesses (Bundesverband mittelständische Wirtschaf-BVMW).
Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan terjalin lama dan kerjasama pelbagai aspek antara Putrajaya dan Berlin.
Jerman telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.