fb fb fb fb fb

Malaysia tidak layan tuntutan remeh dari United Tausug Citizens ke atas Sabah

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Malaysia tidak melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai United Tausug Citizens (UTC) yang mendakwa sebagai 'penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu' ke atas Sabah.

UTC turut meminta kerajaan Malaysia untuk membayar sebanyak AS$15 bilion yang didakwa mereka sebagai 'Cession Money’ (Wang Penyerahan Wilayah) dan mengiktiraf UTC sebagai 'Kerajaan yang berdaulat dan merdeka'.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata UTC juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.

"Malaysia berjaya mengetepikan cubaan serupa di seluruh Eropah oleh pewaris yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II berdasarkan tuntutan palsu yang dikeluarkan oleh penimbang tara Dr Gonzalo Stampa," kata kenyataan itu.

Tegasnya, penjara enam bulan terhadap Stampa oleh Mahkamah Jenayah Madrid baru-baru ini serta larangan daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun, adalah bukti penyalahgunaan jenayah terhadap proses timbang tara dan ketidakadilan yang dialami oleh Malaysia, hasil daripada kes tuntutan Sulu.

Beliau mengulangi kedudukan Sabah di dalam Malaysia, selain kerajaan menekankan bahawa penyertaan Sabah untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia adalah fakta undang-undang yang sudah ditetapkan sejak penyahjajahan pada 1963.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM