fb fb fb fb fb

Lawatan Presiden Xi cerminan hubungan setara, Malaysia–China terus kukuh

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual eksklusif Agenda Awani Asia sempena lawatan rasmi Presiden Xi ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 April- Malaysia kekal dengan pendekatan pragmatik dalam memperkukuh hubungan dua hala bersama China, tanpa menjejaskan hubungan sedia ada dengan kuasa besar lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bukan sahaja mencerminkan keakraban hubungan dua negara, malah menunjukkan pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai rakan setara dalam kerjasama strategik serantau dan global.

"Kita ambil sikap, siapa yang baik dengan kita, kita sambut dengan lebih baik. China ini negara besar, ekonomi dan ketenteraannya kuat. Tapi kita tidak pernah anggap hubungan ini sebagai beban.

"Sebaliknya, hubungan kita setara, penuh perbincangan dan saling menghormati," katanya dalam temu bual eksklusif Agenda Awani Asia sempena lawatan rasmi Presiden Xi ke negara ini.

Tambah Perdana Menteri, pendekatan China yang menekankan aspek budaya, tamadun dan kemakmuran bersama amat selari dengan prinsip Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh nilai kemanusiaan, kasih sayang dan semangat tamadun sejagat.

Dalam temu bual sama, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa hubungan Malaysia-China kini berada di tahap yang lebih signifikan, dengan peningkatan ketara dalam pelbagai sektor utama termasuk pelaburan, pendidikan, pelancongan dan latihan TVET.

"Pelaburan meningkat, perdagangan meningkat, kerjasama universiti meningkat. Peluang latihan TVET bertambah, dan kerjasama budaya serta pelancongan semuanya menunjukkan peningkatan. Ini semua memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya.

Antara manfaat nyata yang dapat dirasai rakyat hasil kerjasama erat ini termasuklah pertumbuhan peluang pekerjaan serta peningkatan dalam sektor perhotelan dan restoran di Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE