fb fb fb fb fb

Lawatan Presiden Guinea-Bissau perkukuh ikatan, teroka peluang di Benua Afrika

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 4 Jun- Lawatan rasmi Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embalo ke Malaysia amat signifikan untuk membina momentum positif dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan itu bakal membuka potensi baharu untuk menjalin kerjasama strategik khusus dalam konteks hubungan Malaysia bersama negara-negara di benua Afrika Barat.

"Saya percaya lawatan Presiden Embalo sangat penting. Beliau mempunyai visi untuk bekerjasama dengan Malaysia, menjalin kerjasama dengan Malaysia sebagai sebuah pangkalan bagi rantau ASEAN.

"Malaysia juga menyokong peranan Guinea-Bissau dalam mengembangkan hubungan dua hala antara kedua negara antaranya dalam bidang perniagaan, pelaburan dan pelbagai bentuk kerjasama.

"Semoga Petronas, FGV, dan syarikat lain akan berpeluang meneroka peluang dan potensi kerjasama antara Malaysia dan Guinea-Bissau bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi berkembang sehingga ke benua Afrika," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embalo yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari di Malaysia optimis lawatan rasmi beliau ke Malaysia bakal memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Embalo berkata lawatan itu mencerminkan keyakinan republik itu untuk menimba pengalaman dari Malaysia kerana berpandangan Malaysia sebagai negara peneraju dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan dan kesihatan.

"Saya yakin bahawa lawatan ini akan berjaya dan saya amat berharap begitu. Kami akan belajar banyak daripada pengalaman Malaysia kerana kami tahu bahawa Malaysia adalah peneraju dalam pendidikan, kesihatan dan juga industri.

"Bagi saya, bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi di peringkat global. Kami berbangga dengan itu, kerana kami seperti adik beradik, dan kami sepatutnya mempunyai hubungan yang mudah dan mesra," kata Embalo pada sidang media tersebut.

Malaysia dan Guinea-Bissau menjalinkan hubungan diplomatik pada November 1974.

Hubungan kedua-dua negara berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di platform dua hala dan pelbagai hala, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta, dengan eksport Malaysia ke Guinea-Bissau bernilai RM4.04 juta dan import sebanyak RM0.06 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI