fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Vietnam bermula hari ini

VIETNAM, 20 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan rasmi sulung ke Vietnam bermula hari ini hingga 22 Mac.

Lawatan diadakan atas jemputan Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Vietnam.

Kenyataan Wisma Putra menyebut, Perdana Menteri bakal mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh bagi menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021 – 2025 Perkongsian Strategik Malaysia – Vietnam.

Kedua-dua Pemimpin itu bakal bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

(Teroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik)

Mereka juga akan menyaksikan pertukaran dokumen termasuklah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Aktiviti Kerjasama Undang-Undang; dan MoU mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja.

Malaysia dan Vietnam turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik yang akan dizahirkan melalui satu Surat Niat.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Presiden Vietnam, dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam selain sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan bertemu Keluarga Malaysia di negara itu.

Media Baharu