fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Perancis perkukuh diplomasi ekonomi, bukan sekadar beli pesawat – Pakar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyaksikan pemeteraian perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara AirAsia dan Airbus serta pertukaran MoU antara 3P Capital Adviser dan Ardian di Paris, Perancis pada 4 Julai/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 5 Julai - Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis disifatkan satu kejayaan strategik memperkukuh hubungan dua hala melangkaui pembelian pesawat Airbus.

Pakar Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berkata, pembelian pesawat tersebut merupakan simbol aspek ekonomi, teknologi dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Tidak disangkal lagi, pembelian pesawat Airbus merupakan kemuncak utama lawatan Perdana Menteri. Namun kita perlu melihat lebih jauh – Perancis ialah sebuah negara yang berpengaruh dalam Kesatuan Eropah (EU), dan ketika ini ASEAN sedang berunding Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama EU.

"Jadi, secara khusus untuk Malaysia, lawatan ini membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada Perancis, dan dalam masa yang sama, pasaran Malaysia juga terbuka untuk Perancis," katanya ketika dihubungi Berita RTM hari ini.

Beliau berkata, lawatan itu membuka peluang besar kepada Malaysia dan Perancis untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang-bidang penting.

Antaranya pemindahan teknologi, pelaburan strategik serta pembangunan bersama dalam sektor tenaga, telekomunikasi dan perlombongan sumber mineral.

"Hakikatnya, kita dapat meraih kepakaran teknologi yang dimiliki Perancis, sesuatu yang amat diperlukan Malaysia, khususnya dalam bidang tenaga, kecerdasan buatan (AI), telekomunikasi dan juga pembangunan sumber mineral.

"Terdapat beberapa syarikat besar di Perancis yang mampu menyumbang dalam sektor-sektor ini. Jadi, kejayaan lawatan ini tidak hanya terletak pada pembelian pesawat semata-mata, sebaliknya saya menjangkakan lebih banyak perdagangan antara Perancis dan Malaysia selepas ini.

"Itulah mesej tersirat yang paling penting, kejayaan dalam diplomasi ekonomi menerusi lawatan ke Perancis," katanya.

Semalam, AirAsia menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat jarak jauh Airbus 321XLR bernilai US$12.25 bilion (RM51.72 bilion), dengan serahan disahkan pada 2028.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus di Paris untuk 50 buah A321XLR dengan hak untuk 20 buah A321XLR, kumpulan pesawat baharu yang disasarkan untuk beroperasi antara lain ke Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia menyaksikan pemeteraian perjanjian itu sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Perancis.

GRACE AISYAH KEDAYAN