fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke Indonesia cipta sejarah baharu, MoU PDI bakal ditandatangani

JAKARTA, 31 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja selama 2 hari ke Jakarta, Indonesia bermula esok (1 April 2022).

Lawatan kali kedua oleh beliau bakal mencipta sejarah baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia apabila Memorandum Persefahaman berhubung Penggajian dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) di Malaysia ditandatangani oleh kedua-dua negara.

MoU tersebut juga bakal membuka kerjasama baharu kedua-dua negara dalam aspek buruh asing ketika dunia sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

MoU PDI yang bakal ditandatangani sudah semestinya meletakkan titik noktah dalam kepincangan yang wujud dalam sektor tenaga buruh melibatkan Malaysia dan Indonesia.

Beberapa aspek dijangka akan disentuh termasuklah berkaitan perlindungan pekerja, gaji minimum dan skop pekerjaan.

Mou PDI tersebut telah ditandatangani buat kali pertama pada tahun 2006 yang telah tamat tempoh pada tahun 2011 dan kemudiannya diperbaharui sehingga tahun 2016.

Namun, selepas tempoh tersebut, MoU PDI tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara.

"Ini akan mewujudkan satu saluran rasmi dari aspek kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia, di mana ia amat penting bagi kedua-dua negara untuk melaksanakan pemantauan. Maknanya Malaysia dan Indonesia tahu bagaimanakah saluran kemasukan PDI ke negara ini, ditangani tegas dan juga pantas," kata Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

 
(Gambar fail)

Justeru, majlis menandatangani MoU PDI pada 1 April ini oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah akan menjadi satu detik bersejarah, lebih-lebih lagi ia akan disaksikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta.

MoU PDI tersebut dijangka akan merintis kepada kemasukan pekerja warga asing dari Indonesia ke dalam sektor yang dibenar penggajian Tenaga Kerja Indonesia.

"MoU ini juga sebenarnya satu penghargaan kerajaan Malaysia terhadap pekerja-pekerja asing khususnya dari Indonesia dalam konteks sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi negara ini. Jadi MoU ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan lagi pemeliharaan kebajikan dan perlindungan ke atas rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini."

"Ini kerana melalui MoU ini, kita harapkan bukan hanya pihak kerajaan tetapi juga pihak swasta juga akan mainkan peranan untuk memberikan keadaan pekerja lebih baik," kata Pakar Analisis Hubungan Malaysia-Indonesia, Prof Dr Nazarudin Zainun.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia, sehingga Februari 2022, jumlah pekerja warga Indonesia dalam negara adalah seramai 352,469 orang yang terlibat dalam sektor perladangan, perkilangan, pekhidmat domestik, pertanian dan perkhidmatan.

Laporan Mohan Chinnasamy.

Media Baharu