(FOTO FB ZAMBRY ABD. KADIR)
PUTRAJAYA, 6 Mei - Satu dokumen Kerjasama Strategik Malaysia-New Zealand telah dimeterai hasil lawatan kerja sulung Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ke negara itu pada 2 hingga 4 Mei lalu.
Pemeteraian dokumen tersebut turut disaksikan rakan sejawatnya, Nanaia Mahuta selain membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk kerjasama dalam sektor industri halal dan pertanian.
Dalam satu kenyataan, Zambry berkata Kerjasama Strategik itu akan memberi manfaat yang tinggi kepada kedua-dua negara, selain menaik taraf hubungan diplomatik ke peringkat kerjasama strategik serta membuka peluang-peluang pelaburan baharu ke Malaysia dan New Zealand.
Dalam rangka lawatan itu, Zambry juga berpeluang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitiri bersama rakyat Malaysia di New Zealand.
(Foto FB Zambry Abd. Kadir)
Dianggarkan seramai 18,000 warga Malaysia berada di New Zealand yang terdiri daripada pelajar, golongan profesional serta pelabur-pelabur.
New Zealand merupakan antara rakan dagangan penting buat Malaysia, sejak hubungan diplomatik ditubuhkan pada 1957.
Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM11.3 bilion (US$2.56 bilion), meningkat 49.6 peratus berbanding RM7.55 bilion (US$1.82 bilion) pada 2021.