fb fb fb fb fb

Lawatan Anwar ke Jepun raih potensi pelaburan RM1.45 bilion

Foto FB Anwar Ibrahim

TOKYO, 24 Mei- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun berjaya meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion, manakala potensi eksport berjumlah RM550 juta.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata lawatan itu mengukuhkan lagi persahabatan antara Malaysia-Jepun.

"Secara keseluruhannya, lawatan kerja kali ini mencapai objektifnya daripada aspek mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin menerusi pelbagai bidang.

"Penghargaan saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil," menurut Anwar.

Terdahulu, Anwar berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas tiga hari lawatan rasminya di Jepun.

Sementara itu, Anwar berkata beliau dan delegasi Malaysia sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Camii, Tokyo, sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

Beliau juga dapat beramah mesra dengan komuniti Islam tempatan, selain turut di bawa meninjau kawasan sekitar masjid.

"Saya turut sampaikan sumbangan set kain kafan kepada pihak masjid. Semoga Jumaat yang berkah buat semua, insya-Allah," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM