fb fb fb fb fb

Lari dari tahanan: Dua warga Indonesia dipenjara lapan bulan

KULAI, 17 April- Dua lelaki tahanan warga Indonesia dikenakan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai, selepas mengaku bersalah melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, Selasa lalu

Keputusan dibuat Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi selepas kedua-dua tertuduh, Riki Rinaldi, 40, dan Haji Samirudin,36. mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan. 

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dengan sengaja melarikan diri dengan membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van daripada jagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Riki dan Haji didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang telah menahan mereka secara sah di sisi undang-undang.

Riki dan Haji sebelum ini ditahan dan didakwa bagi kesalahan mengikut Seksyen 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

(Kedua-dua tertuduh, Riki Rinaldi, 40, dan Haji Samirudin,36. mengaku bersalah
atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan)

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang di sini pada 11 April lepas mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili penguam. 

Dalam kejadian khamis lalu, kedua-dua tertuduh bersama dua tahanan lain dihantar ke Penjara Ledang bagi menjalani hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan tidak mempunyai dokuman sah masuk ke negara ini namun melarikan diri ketika dalam perjalanan. 

Kedua-dua suspek berjaya ditangkap semula dalam tempoh 24 jam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Media Baharu