fb fb fb fb fb

Kuota minyak masak bersubsidi kekal 60,000 tan sebulan

BESUT, 17 April- Kuota minyak masak bersubsidi kekal kepada 60,000 tan sebulan seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini, keputusan itu kekal seperti yang diputuskan Kabinet.

Sebelum ini, KPDN memberi bayangan untuk menurunkan kuota minyak masak bersubsidi kepada 40,000 tan sebulan, berbanding 60,000 tan sebulan ketika ini.

Ia berikutan kuota sedia ada tidak dapat dipenuhi syarikat pembungkus yang boleh menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

"Setakat ini yang saya faham keputusan Kabinet dan KPDN kekal dengan koata 60,000 sebulan yang kita berikan subsidi ini. Penggunaan itu saya tidak tahu dan kebiasaannya keputusan berkenaan dibuat Kabinet dan kementerian sendiri. Setakat yang ada hari ini, keputusan dasar tentang pengurangan dan peningkatan itu kita telah buat, keputusan setakat ini kita kekal dengan 60,000 sebulan. Kita pernah cuba tingkatkan kuota itu tapi sedang menunggu jawapan dari Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan Payung Rahmah yang mampu mewujudkan beberapa rantaian inisiatif lain untuk disampaikan kepada golongan memerlukan.

Menerusi program Jualan Rahmah di pasar raya, ia menawarkan harga 50 barangan keperluan sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Selain itu, 30 jenis barangan akan dikawal menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan kali ini.


(Ia berikutan kuota sedia ada tidak dapat dipenuhi syarikat pembungkus
yang boleh menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran)

Media Baharu