KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Sebarang dakwaan mengenai larangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan menunaikan ibadah haji adalah tidak benar dan berunsur fitnah.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam satu kenyataan berkata tindakan pantas perlu diambil untuk menghalang penyebaran berita palsu daripada mencetuskan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan raja (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
"Pegawai Tugas-Tugas Khas saya, saudara Lim Swee Kuan telah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja memanipulasi maklumat untuk menyemarakkan ketegangan antara kaum", katanya menerusi kenyataan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa Akaun KWSP boleh digunakan oleh bakal jemaah haji yang berusia bawah 55 tahun, tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.
"Prosedur ini telah kekal sejak diperkenalkan pada tahun 2013, tanpa mengira siapa yang memegang tampuk pemerintahan," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyeru semua pihak, terutamanya pengguna media sosial, untuk memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.
"Kegilaan mengejar perhatian tanpa mengkaji kesan buruk boleh membawa kepada perpecahan yang tidak diingini," katanya.
"Saya menyeru agar semua pihak, termasuk pengguna media sosial, media massa, dan pihak berkuasa, berganding bahu untuk membendung penyebaran berita tidak benar yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati bersama", katanya lagi.