KUALA LUMPUR, 22 Januari - Perintah larangan berhimpun dikuatkuasakan selama seminggu di sekitar Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka.
Perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya bermula 7 pagi, enam jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan.
Manakala operasi pengangkutan awam turut diberhentikan buat sementara waktu melibatkan LRT laluan Ampang-Sri Petaling dan Kelana Jaya, MRT, Monorel dan KTM Komuter di beberapa stesen dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi.
"Justeru bagi memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam termasuk konteks daripada jangkitan COVID-19 pihak polis akan menjalankan beberapa tindakan pematuhan dan penguatkuasaan SOP antaranya lencongan jalan di sekitar IPD Dang Wangi.
"Setakat ini sebanyak enam jalan iaitu Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.
"Bagi MRT laluan Sungai Buloh-Kajang stesen terlibat Bukit Bintang, Merdeka dan Pasar Seni manakala bagi monorail stesen terlibat Medan Tuanku, Bukit Nenas, Raja Chulan, Bukit Bintang, Imbi, Hang Tuah, Maharajalela, Tun Sambathan dan KL Sentral. KTM pula melibatkan stesen Kuala Lumpur, Bank Negara dan Putra," katanya dalam sidang media penguatkuasaan dan pemantuhan SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 di IPD Dang Wangi.
Lebih 1,000 anggota serta pegawai IPD Dang Wangi, IPK Kuala Lumpur dan Bukit Aman akan digerakkan bagi memantau pematuhan SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di lokasi terlibat.
Polis tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan tegas terhadap penganjur serta peserta perhimpunan itu mengikut undang-undang.