fb fb fb fb fb

Laporan LKAN: Tiga daripada lima projek kementerian ada ketakteraturan serius

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Hasil pengauditan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendapati tiga daripada lima program melibatkan kementerian, jabatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berlaku ketidakteraturan serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan ketidakteraturan serius dalam program berkenaan boleh menjejaskan keberkesanan untuk menghasilkan impak seperti diharapkan.

Beliau berkata, lima projek di tujuh kementerian yang diaudit itu membabitkan nilai keseluruhan RM48.873 bilion.

"Sebanyak 22 syor turut dikemukakan dalam LKAN ini untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan, agensi dan GLC bagi menambah baik kelemahan yang dibangkitkan atau mengelakkan kelemahan sama berulang,” katanya ketika membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata inisiatif itu juga membuka ruang secara langsung kepada lebih ramai ahli Parlimen untuk memainkan peranan aktif dalam memastikan dana kerajaan diurus secara berhemah demi kepentingan awam.

“Perbahasan ini juga menjadi platform untuk membincangkan langkah-langkah konkrit menangani isu yang dibangkitkan, agar diberi perhatian serius sebelum tindakan pembetulan berkesan dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua menteri bertanggungjawab perlu meneliti secara menyeluruh setiap teguran dalam LKAN 2/2025, khususnya isu berulang yang masih belum diselesaikan.

GRACE AISYAH KEDAYAN