fb fb fb fb fb

Laporan lengkap status terkini Tasik Chini akan diserah kepada UNESCO minggu depan

(Datuk Seri Takiyuddin Hassan ditemu bual media selepas Program Penanaman Pokok dan Pengayaan
Tasik Chini sempena Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta pokok)  

PEKAN, 10 September - Laporan lengkap berkaitan status terkini dan kerja-kerja pemuliharaan di kawasan Tasik Chini akan diserahkan oleh kerajaan negeri Pahang kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada minggu depan.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kerajaan negeri Pahang sebelum ini diberikan tempoh sehingga 30 September untuk membuat penambahbaikan ke atas laporan semakan berkala Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

Laporan lengkap itu kini telah siap sepenuhnya dan dijangka akan diserahkan sendiri oleh kerajaan negeri diwakili Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin ke ibu pejabat Unesco di Paris, Perancis minggu depan.

"Kita diminta untuk mengemukakan laporan kepada pihak UNESCO sebelum 30 September, dan saya difahamkan bahawa kerajaan negeri Pahang telah pun siap membuat satu laporan terkini dan laporan itu akan dihantar sendiri oleh setiausaha kerajaan negeri Pahang, ke Paris ibu pejabat UNESCO yang menguruskan perkara ini, jadi kita yakin status UNESCO kepada Tasik Chini itu tidak terjejas dan kita akan memberikan penjelasan yang diperlukan pihak mereka," kata beliau kepada pemberita selepas Program Penanaman Pokok dan Pengayaan Tasik Chini, sempena Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta pokok, di sini hari ini.


(Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Program Penanaman Pokok dan Pengayaan Tasik Chini
sempena Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta pokok)

Tambah Takiyuddin, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpanan Kekal Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong dan mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

Pada majlis itu, sebanyak 1000 pokok pelbagai spesis ditanam yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Tasik Chini, Pahang yang berkeluasan 6,922.97 hektar merupakan Tapak Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia yang diiktiraf UNESCO di bawah Program 'Man and the Biosphere' (MAB) pada 26 Mei 2009.

Media Baharu