fb fb fb fb fb

Lapan rumah atas air musnah dalam kebakaran di Putatan

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran / JBPM Sabah

PUTATAN, 22 Disember -Lapan rumah atas air musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 10 peratus dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.35 tengah hari.

"Seramai 38 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan lima aliran hos air sepanjang 800 kaki dengan tujuh pancutan, melibatkan sumber air daripada jentera bomba, tangki air serta pili bomba berhampiran," menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah.

Beberapa agensi lain turut membantu operasi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity, Majlis Daerah Putatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.33 petang sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.51 petang.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN