IPOH, 22 Disember -Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Shaiful Hairy Ahmad Sabiron, dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Video TV pada Malam Media Perak Sejahtera 2025, malam tadi.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam majlis yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh negeri.
Shaiful Hairy berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerja berpasukan serta sokongan kuat kru produksi yang memastikan penyampaian laporan berimpak dan berfakta.
“Sebagai wartawan, tugas kami adalah menyampaikan fakta yang relevan dan bermakna kepada rakyat.
Peranan jurukamera sangat penting dalam mengukuhkan penceritaan visual,” katanya.
Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan pada edisi kedua penganjuran majlis anugerah tersebut.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Perak turut mengumumkan pemberian insentif khas secara one-off sebanyak RM500 kepada pengamal media sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.