fb fb fb fb fb

Lapan pemancing terapung dua jam akibat bot karam, diselamatkan APMM



MERSING, 20 Februari- Lapan pemancing yang terapung hampir dua jam selepas bot dinaiki karam di beting berhampiran Pulau Seri Buat dan Pulau Tasu di perairan Rompin malam tadi berjaya diselamatkan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot dinaiki pemancing berusia 27 tahun hingga 56 tahun berkenaan dipercayai mengalami kebocoran menyebabkan air masuk sebelum karam.

Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan melalui talian MERS 999 daripada salah seorang mangsa pada jam 9.35 malam.

"Operasi Carilamat diaktifkan pada jam 9.50 malam membabitkan bot APMM, Pasukan Polis Marin (PPM) dan komuniti nelayan setempat.

"Sekitar jam 11.20 malam, lapan mangsa rakyat tempatan itu berjaya ditemui oleh sebuah bot fiber yang melalui kawasan kejadian berpaut pada bot dengan memakai jaket keselamatan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa selamat tiba di Jeti Awam Penyabong pada jam 11.50 malam.

Beliau berkata, MRSC Johor Bahru mengucapkan terima kasih di atas bantuan agensi-agensi dan komuniti nelayan setempat dalam operasi carilamat itu.

"Kegunaan jaket keselamatan terbukti menjadi alat bantuan keselamatan yang mampu menyelamatkan nyawa di laut sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Media Baharu