fb fb fb fb fb

Lantikan Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke AS dibuat kerajaan terdahulu- PM

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Pelantikan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan itu mengambil masa enam bulan untuk disahkan oleh pihak AS sekali gus menyebabkan pentadbirannya terpaksa meneruskannya kerana pembatalan pelantikan akan menimbulkan pelbagai masalah lain.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Proses pengesahan oleh AS itu agak panjang. Setelah disahkan dan saya ambil alih, saya hanya mohon kepada Yang di-Pertuan Agong menangguhkan sedikit tentang watikah itu supaya saya susun dahulu jemaah menteri dan saya harus maklumkan kepada jemaah menteri.

"Maknanya boleh tegur tapi ambillah maklum dahulu atau tanya dahulu atau cabar Perdana Menteri untuk beri penjelasan...tidak apalah...jangan hukum dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Perdana Menteri mengulas beberapa kritikan terhadapnya susulan pengumuman Kementerian Luar bahawa Nazri adalah seorang daripada 10 ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Media Baharu